Laksamana

Laksamana Hang Tuah/ilustrasi. (foto: pinterst.com)

Sebagai salah seorang pembesar utama kerajaan Me­laka, laksamana juga diberi tanggungjawab untuk memerintah dan mengawasi daerah takluk Melaka. Tradisi sejarah menyebut tanggung jawab pentadbiran dan pengawasan ini sebagai ‘memegang’, dan kawasan tersebut dipanggil ‘pegangan’. Tanggung jawab utama seorang pemegang, adalah untuk memastikan keamanan penduduk yang diawasinya tersebut, menentukan taat setia yang berkelanjutan ke Melaka dan menetapkan hasil dan komoditas yang dikeluarkan oleh kawasan tersebut disalur untuk pemasaran. Laksa­mana juga boleh menjatuhkan apa saja hukuman ke atas penduduknya yang bersalah, melainkan hukuman mati. Sepanjang khidmatnya sebagai laksamana, Hang Tuah memegang dua kawasan di pantai timur Sumatera, yaitu Siantan dan Sungairaya.

Laksamana juga menyandang jabatan duta dalam hubungan diplomatik Melaka dengan kuasa-kuasa besar serantau. Satu bukti sejarah daripada dokumen berbahasa Jepang menyebut sebuah kapal dari Melaka, pecah dan terdampar di Kepulauan Rukya dalam usaha anak-anak kapalnya menuju ke istana imperial Jepang. Kapal tersebut diketuai oleh Laksamana Hang Tuah. Sebagai laksamana, Hang Tuah berkhidmat di bawah tiga orang sultan, yaitu Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah.

Bacaan Lainnya

Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, tradisi jabatan laksamana diteruskan oleh kesultanan Melaka di Johor tua. Pemegang jabatan ini memakai gelar Orang Kaya. Pada abad ke-16 dan abad ke-17, oleh sebab sering berlaku peperangan di laut di antara Johor dengan Portugis, fungsi dan kedudukan lak­samana menjadi cukup penting, sehingga dapat mempengaruhi istana Johor dan laksamana pernah menjadi Pemangku Raja. Laksamana yang amat berpengaruh suatu ketika di Johor ialah Laksamana Tun Abdul Jamil. Pada penghujung abad ke-17, apabila berlaku komplot di kalangan keluarga bendahara untuk menggulingkan Sul­tan Mahmud II, anak laksamana yang bernama Cik Pong disebut mengandungkan zuriat baginda, lalu melahirkan seorang putera yang didakwa sebagai Raja Kecil yang menjadi Raja Siak pertama.

Jabatan laksamana turut diwarisi oleh beberapa buah negeri Melayu yang beraja. Misalnya di Perak, pemegang jabatan laksamana memakai gelar Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota Raja Di Laut dan memerintah muara Sungai Perak. Pada abad ke-18, jabatan ini mengalami perubahan. Laksamana yang sebelumnya dipegang oleh orang kebanyakan mula diserahkan kepada kerabat diraja. Di Selangor, seorang anak raja yang terkanan diberikan gelar Tengku Laksamana dan menjadi salah seorang waris negeri. Secara tradisi, penyandang jabatan ini kelak yang mewarisi takhta kerajaan.

Dalam sejarah kesusasteraan Melayu klasik, tradisi lak­samana seolah-olah dimitoskan, terutama bila dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah, menonjolkan watak Hang Tuah yang secara kebetulan memegang jabatan laksamana. Wataknya diperbesar-besarkan sehingga seorang manusia biasa berubah menjadi manusia super-human, selaras dengan pemikiran budaya Melayu zamannya yang meletakkan seorang laksa­mana sebagai tokoh pengembara yang unggul, tokoh siasah peperangan, pahlawan, pentadbir pelaut handalan dan ahli diplomatik yang cekap.

Rujukan:
1. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1999. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, edisi kedua cetakan pertama, Selagor: Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Timothy P. Barnard. 2006. Pusat Kekuasaan Ganda: Masyarakat dan alam Siak & Sumatra Timur 1674-1827. Pekanbaru: P2KK-Unri

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *